Pantasnya masa berlalu... Inilah kehidupan. Segala-galanya sekejap cuma.
Andai aku dapat memutar masa, ingin aku kembali ke tahun 2009. Teringat betapa manisnya mesej yang bertalu-talu daripada si dia pada awal perkenalan. Mesej yang begitu kudamba, tapi kini begitu dingin sekali.
Inilah kehidupan... Betapa kaki ini harus melangkah dalam meneruskan hidup biarpun dalam keterpaksaan, dalam kepayahan.
Aku tidak mengerti sama ada peluang itu pernah hadir atau aku sendiri yang perasan tanpa mengukur baju di badan. Bagaimanakah dapat kufahami kata-kata simbolik itu?
Memang benar aku pernah cuba melenyapkan anganku lantas cuba menjauhkan diri. Namun begitu, pada hakikatnya aku masih terus hidup dengan ingatan dan rindu pada setiap hari. Bagaimanakah mungkin aku dapat melupakan rama-rama teristimewa dalam hidupku yang aku julang di takhta hatiku?
Aku hanyalah insan biasa, wanita biasa dengan segala kekurangan diri. Aku sedar aku hanyalah gagak yang mencipta angan untuk menumpang teduh pohon kasihmu. Sekalipun gagak, ia tetap makhluk Tuhan yang punya perasaan dan mahu sebuah kehidupan seperti yang diimpikan.
Adakah bersalah seandainya mencipta impian?
Berdosakah sekiranya jatuh cinta kepada seseorang yang sangat istimewa yang Tuhan hadirkan dalam hidup ini?
Apakah gagak hitam yang hodoh tidak layak untuk mendapat cinta?
Gagak merayu dengan titis air mata:
~ kembalikan hatiku andai kau menolaknya
~ balaslah kasih ini dengan salam persahabatan
~ hiduplah bahagia demi aku
~ ingatlah, aku sentiasa ada tika kau memerlukan
1 Jan 2012
10.42pm
No comments:
Post a Comment