Sunday, October 21, 2012

Hidup Ini Pinjaman Cuma

Seandainya aku kata dalam tempoh tiga tahun ini aku belajar menjadi dewasa, jangan tergelak pula, sebab inilah hakikatnya. Kukira belum terlambat untuk aku bermuhasabah… merenung kehidupanku sedalam-dalamnya… pada usia senja ini. Rabu minggu yang lalu aku dikejutkan oleh berita kematian seorang teman kepada kakakku – pemuda yang berusia 37 tahun – yang kacak bergaya – masih bujang. Ketika itu kurasa betapa rapuhnya hidup ini – semuanya tidak terduga. Alangkah rapuhnya kehidupan manusia. Hidup ini hanyalah pinjaman dan pada bila-bila masa Tuhan akan menariknya kembali. Tahun 2012 menyaksikan tragedi dalam hidupku – pemergian ayah yang tersayang – yang sehingga kini belum mampu aku hadapi hakikat kehilangannya. Bukan kematian yang pertama dalam keluargaku tetapi inilah kematian pertama yang aku saksikan sendiri sepanjang usia hidupku. Mungkin kerana aku tidak berada di sisi ayah ketika dia menghembuskan nafas yang terakhir, maka akalku tidak dapat menerima hakikat bahawa dia telah tiada. Dalam sanubariku, dia tetap ada tetap hidup… hanya mataku tidak dapat lagi menatap diri ayah… dan aku juga tidak dapat lagi berbakti kepadanya. Dalam beberapa minggu ini ketika aku berhibernasi…bermuhasabah… hidupku menjadi lebih tenang. Aku tidak lagi mengejar apa-apa yang bukan milikku. Aku belajar untuk menjadi lebih kuat – kerana aku yakin itulah yang ayah mahu aku lakukan. Aku sedar kini. Segala perkara yang berlaku dalam hidup ini ada hikmahnya. Perkara yang telah ditentukan oleh Tuhan bagi kehidupan kita – takdir-Nya yang tidak mampu kita ubah. Aku yakin Tuhan menghadirkan ‘dia’ dalam hidupku untuk menggerakkan aku meneruskan pengajian ke peringkat PhD. Aku bersyukur atas segalanya… apa yang ada… dan apa yang tiada. Sementara menanti nafasku ditarik kembali…nyawaku dipulangkan kepada asalnya….dan aku menghadap-Nya, maka aku harus meneruskan perjalanan hidup ini. Biarpun ada banyak keraguan, banyak ketakutan, banyak kerisauan….aku yakin perjalanan ini singkat sahaja. Ruang masa yang ada ini harus kuisi dengan perkara yang bermanfaat bagi diriku, keluarga dan juga orang lain. Aku tidak mengingini harta kekayaan, pangkat atau apa-apa pun… tetapi cukuplah sekiranya Tuhan memberi aku kebahagiaan sehingga ke titik noktah hidupku. Bahagia dalam segala kesederhanaan…. (22 Okt 2012)

Wednesday, October 10, 2012

a thousand years loving you

Semalam aku menonton drama bersiri Korea yang baharu melalui TV2, tajuknya “A Thousand Days Promise”. Aku kagum melihat ketabahan si gadis yang mencintai seorang jejaka dan jejaka itu bakal melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihan orang tuanya. Gadis itu walaupun sangat mencintai jejaka itu, namun dia kelihatan begitu tenang apabila si jejaka memberitahu bahawa tarikh perkahwinannya telah ditetapkan. Katanya, dia sudah banyak kali berlatih untuk menghadapi situasi itu dan ternyata latihannya telah banyak membantu. Si gadis malahan mampu tersenyum sehingga si jejaka memintanya menghentikan senyuman itu kerana dia sama sekali tidak percaya bahawa si gadis itu tidak rasa terluka ataupun bersedih sedikit pun. Baginya, si gadis itu terlalu tenang…begitu sukar untuk dipercayai. Dengan bersahaja, si gadis meminta agar si jejaka menikmati saat-saat terakhir mereka bersama. Aku teringat pada rama-rama. Aku juga sungguh-sungguh mencintai dirinya, seperti juga si gadis dalam drama tersebut. Andainya aku mendapat perkhabaran bahawa dia akan melangsungkan perkahwinan, pastinya hatiku sangat hancur. Pastinya mutiara berguguran lagi. Tidak mungkin aku mampu setenang itu. Sebelum berpisah di tempat parkir kereta, si gadis memohon izin untuk ke tandas. Dia meluru masuk ke dalam tandas lelaki… membuka kasut tumit tingginya lalu duduk di atas mangkuk tandas. Kemudian.. terbongkarlah perasaan si gadis itu yang sebenarnya. Sesungguhnya hatinya sangat terluka… Perasaan yang ditahan-tahannya tadi semuanya terlerai sudah. Tangisan yang begitu pedih… begitu pilu. Aku tahu aku harus merelakan dia pergi… rama-rama yang terindah itu… (11 Oktober 2012; 2.01pm)

Sunday, October 7, 2012

Diari Luka

5 Okt 2012 (Jumaat) – Aku mengunjungi pohon engkabang. Alangkah hampanya apabila pohon yang berbuah lebat pada bulan Ogos itu hanya berbuah beberapa biji. Aku hanya nampak 3 biji buah bergantungan di pokok – satu di kiri, satu di tengah, satu di kanan… Ketika mengambil gambar di situ, kamera Ziha yang kupinjam bermasalah. Rosak skrinnya. Mungkin sudah uzur tetapi memandangkan perkara itu berlaku ketika kamera itu kupinjam, maka aku harus bertanggungjawab. Kameraku sendiri telah rosak sebelum sempat aku sampai ke Kapit pada 15 September 2012. Balik ke rumah, petang itu aku memasak air di dapur. Selesai urusan memindahkan gambar dari kamera ke laptop, aku tidur petang. Sekurang-kurangnya selepas satu jam 30 minit, aku bangun dari tidur lalu aku tersedar bahawa aku ada memasak air. Aku meluru ke dapur dan mendapati bahawa dapur gas sedang terbakar. Dengan cepat kujirus air. Rupa-rupanya pemegang cerek yang diperbuat daripada plastik dan besi hangus terbakar. Syukurlah.. api itu tidak sampai ke salur gas. Kalau tidak, aku tidak sempat pun mengucapkan selamat tinggal kepada orang yang kusayang. 6 Okt 2012 (Sabtu) – Hari ini sekolah gantian. Rama-rama memuat naik gambar jamuan akhir tahun sekolahnya. Dia kacak sekali… rakan-rakan sejawatnya pula begitu cantik dan anggun (aku klik ‘like’). Ada satu catatan dalam FBnya yang membuatkan hatiku terasa begitu hancur untuk sekian kalinya. “Rupanya siapa saya di mata awak tak sama dengan siapa awak di mata saya” Naluri aku mengatakan bahawa kata-kata itu ditujukan untuk aku, begitu cocok dengan diriku. Gambar cover FBku kuguna gambarnya dengan menggunakan teknik PhotoMania. Di dalam mata itu, ada dirinya. Aku klik ‘like’ juga untuk catatan ringkas itu biarpun hatiku terluka. Kata-kata seumpama itu bukan yang pertama aku terima, malah itu kali yang ketiga. 1st (4 Disember 2009): “Saya tidak pernah declare apa-apa.” 2nd (2010): Emel yang pertama daripadanya, “Perkara yang paling kejam ialah membuatkan seseorang jatuh cinta tanpa ada niat untuk menyambutnya.” 3rd (6 Okt 2012): “Rupanya siapa saya di mata awak tak sama dengan siapa awak di mata saya” Dan pada tarikh 6 Oktober 2012, telefon bimbitku juga rosak. Telefon bimbit yang ada menyimpan mesej kepada diriku dan juga mesej aku kepada dirinya, dan juga catatan-catatan hatiku tentang dia. Dugaan apakah lagi??? Mungkin Tuhan pun mahu aku melupakan si dia… membina hidup yang baharu. 7 Okt 2012: Kugunting rambut… pendek... Yang paling pendek dalam tempoh 12 tahun ini. Rambut terpendek aku adalah pada tahun 2010 ketika aku putus cinta untuk kali pertamanya. Yang ini, aku tidak menganggapnya sebagai putus cinta kerana kami tidak pernah menjalin hubungan cinta walaupun jalinan sayang kepadanya begitu kuat. Rasa kecewa dan terluka yang lebih mendalam berbanding ketika hubungan aku dan mantan kekasihku merenggang dan terputus tanpa kata putus, 12 tahun yang lalu. Tahun lepas, pada bulan September 2011, rambutku juga digunting pendek tetapi tidaklah sependek ini. Guntingan itu gara-gara dia memadamkan akaun FBnya yang satu lagi, yang sememangnya tidak aktif tetapi dipadamkan (kurasa kerana ungkapan sayang yang aku luahkan). Ketika itupun, hanya ada 5 orang rakan FBnya, dan salah seorangnya ialah sahabat karibnya… dan seorang lagi gadis idamannya… (naluriku mengatakan begitu). Telefon bimbit itu kuhantar untuk dibaiki, tapi percuma sahaja wang dihabiskan kerana memang telefon bimbit itu sudah nazak. Sekarang telefon bimbit itu dibiarkan sahaja tidur, dan suatu masa nanti apabila aku sudah bersedia… akan kupindahkan semua catatan dam mesej ke laptop. Ya.. untuk mengingat kembali kenangan indah dan kata-katanya yang manis… moga suatu hari nanti mampu dijadikan sebuah novel cinta yang luka. Walau bagaimanapun, hal ini tidak bermakna bahawa dia akan terus tersingkir dari ingatan dan hatiku. Seperti kata kak Syam, biarlah ia duduk diam-diam di dalam hati. Aku tidak pernah membenci. Masih sayang. Dan biarlah kesudahannya begini saja. Sememangnya dia layak mendapat yang terbaik dan jauh lebih baik daripada diriku. Ya.. biarlah dia hidup bahagia… Aku tidak pernah dan tidak akan mengganggu hidupnnya. Kalau sekadar mesej ucapan, itu hanyalah ucapan tanda aku masih mengingati dirinya… biarpun sebagai sahabat saja… sahabat alam maya. Tidak mengapalah engkau bersikap kejam terhadap diriku… mungkin tanpa engkau sedari… Kalau masa lalu dapat diulang kembali, aku lebih rela engkau tidak pernah hadir dalam hidupku daripada aku harus meratapi kehilanganmu. 8 Oktober 2012 8.55am