Sunday, October 21, 2012

Hidup Ini Pinjaman Cuma

Seandainya aku kata dalam tempoh tiga tahun ini aku belajar menjadi dewasa, jangan tergelak pula, sebab inilah hakikatnya. Kukira belum terlambat untuk aku bermuhasabah… merenung kehidupanku sedalam-dalamnya… pada usia senja ini. Rabu minggu yang lalu aku dikejutkan oleh berita kematian seorang teman kepada kakakku – pemuda yang berusia 37 tahun – yang kacak bergaya – masih bujang. Ketika itu kurasa betapa rapuhnya hidup ini – semuanya tidak terduga. Alangkah rapuhnya kehidupan manusia. Hidup ini hanyalah pinjaman dan pada bila-bila masa Tuhan akan menariknya kembali. Tahun 2012 menyaksikan tragedi dalam hidupku – pemergian ayah yang tersayang – yang sehingga kini belum mampu aku hadapi hakikat kehilangannya. Bukan kematian yang pertama dalam keluargaku tetapi inilah kematian pertama yang aku saksikan sendiri sepanjang usia hidupku. Mungkin kerana aku tidak berada di sisi ayah ketika dia menghembuskan nafas yang terakhir, maka akalku tidak dapat menerima hakikat bahawa dia telah tiada. Dalam sanubariku, dia tetap ada tetap hidup… hanya mataku tidak dapat lagi menatap diri ayah… dan aku juga tidak dapat lagi berbakti kepadanya. Dalam beberapa minggu ini ketika aku berhibernasi…bermuhasabah… hidupku menjadi lebih tenang. Aku tidak lagi mengejar apa-apa yang bukan milikku. Aku belajar untuk menjadi lebih kuat – kerana aku yakin itulah yang ayah mahu aku lakukan. Aku sedar kini. Segala perkara yang berlaku dalam hidup ini ada hikmahnya. Perkara yang telah ditentukan oleh Tuhan bagi kehidupan kita – takdir-Nya yang tidak mampu kita ubah. Aku yakin Tuhan menghadirkan ‘dia’ dalam hidupku untuk menggerakkan aku meneruskan pengajian ke peringkat PhD. Aku bersyukur atas segalanya… apa yang ada… dan apa yang tiada. Sementara menanti nafasku ditarik kembali…nyawaku dipulangkan kepada asalnya….dan aku menghadap-Nya, maka aku harus meneruskan perjalanan hidup ini. Biarpun ada banyak keraguan, banyak ketakutan, banyak kerisauan….aku yakin perjalanan ini singkat sahaja. Ruang masa yang ada ini harus kuisi dengan perkara yang bermanfaat bagi diriku, keluarga dan juga orang lain. Aku tidak mengingini harta kekayaan, pangkat atau apa-apa pun… tetapi cukuplah sekiranya Tuhan memberi aku kebahagiaan sehingga ke titik noktah hidupku. Bahagia dalam segala kesederhanaan…. (22 Okt 2012)

No comments:

Post a Comment