Sunday, January 15, 2012

aku bukan malaikat

penantian sepi
kecewa terus berlagu
cintaku hanyalah sia-sia
dia tidak mengerti
dia tidak mahu terima
dan kini dia tetap berdiam diri

aku bukan malaikat
yang mulia memberi cinta
aku juga punya keinginan
mendamba cintamu

telah sempurna perkongsian
tiada yang perlu lagi
maka terbanglah engkau
tinggi setingginya
mengejar impianmu
aku yang masih di sini
tetap doa kebahagiaanmu
kesejahteraanmu
kejayaanmu

benar, cinta tidak semestinya bersatu
cinta bererti merelakan engkau memilih jalan hidupmu
sekalipun di jalanmu itu
tiada aku

terima kasih rama-rama
atas kenangan lalu
pernah kucicip nikmat bahagia
masih kupasang angan-angan
namun hakikat meroboh segalanya




15 Jan 2012
6.43am

Saturday, January 14, 2012

syahdunya rasa

sekian lama menaruh sayang
rindu tak berpenghujung
sepi dan sesekali muncul
kini kau tak sudi lagi
ya Tuhan
barulah aku tersedar dari mimpi panjang
aku hanyalah badut
kebodohanku menjadi tawamu
perlukah keangkuhan itu
semata-mata untuk membuat aku mengerti
cintaku ditolak ke tepi
kau tak sudi
dan sepimu kini selama-lamanya



14 Jan 2012
9.54pm

Friday, January 6, 2012

pertemuan

Pertemuan pada 6 Jan 2012 di hadapan sebuah pasar raya kegemaranku telah melerai rindu, melerai persoalan, melerai kegusaran hati...

Syukurlah... Niat hati untuk memberi buku dan hadiah telah terlaksana. Tanpa kuduga, dia rupa-rupanya turut menyediakan hadiah untukku. Aku terima dengan rasa gembira dan mengucap terima kasih.

Pertemuan tidak melebihi 10 minit. Kata-kata diselang sepi bicara, pandangan mata yang bertaut, dan senyuman. Ketika dia harus percaya, kuucap 'bye' tanpa menatap wajahnya lalu melangkah pergi (kuatkan diri untuk tidak menoleh ke belakang) masuk ke dalam pasar raya.

Aku sangka diriku cukup kuat kalau dilihat pada performance diriku ketika berhadapan dengannya. Aku tewas kepada perasaannya yang begitu sebak apabila perpisahan itu harus terjadi. Sambil menggenggam hadiah comel itu (kerongsang mutiara), aku menelefon Z tetapi tidak dapat banyak berkata-kata kerana hujan mulai gugur dan aku tidak mahu empangan pecah di tempat umum.

Dalam rasa gembira, ada juga rasa haru. Terima kasìh kerana dia merealisasikan pertemuan itu. Singkatnya pertemuan kerana dia ada urusan penting, lagipun dia segera datang kerana tidak mahu aku lama tertunggu-tunggu kedatangannya.

Terima kasih atas kesudiannya.


7 Jan 2012
11.56am

Monday, January 2, 2012

first love

Petang semalam aku pasang lagu First Love (nyanyian Utada Hikaru) dan mendengarnya secara berterusan. Lagu kegemaran abe rama2 menjadi lagu kegemaranku juga, selain lagu Jangan Menyerah (D'Masiv) yang pernah dihadiahkan oleh abe rama2 pada bulan Jun 2011.

Nancy kata lagu First Love itu ialah lagu tema bagi drama Jepun, kisah cinta seorang guru dan pelajar lelakinya. Nancy pernah memberitahu aku tentang drama itu.

Lantas aku bertanya tentang pengakhiran kisah drama itu - kisah cinta itu. Nancy kata dia tidak sempat tonton sehingga tamat, tapi rasanya no happy ending.

Sukar untuk dimengerti, tapi kesukaan abe rama2 sudah mula menjadi kesukaanku termasuk warna purple. Aku juga mencintai rama2, apa-apa sahaja, kerana ada tatu rama2 dalam hati - tak akan terpadam, tak akan luput.


3 Jan 2012
6.37am

Sunday, January 1, 2012

Cinderella

Dapat berita buruk daripada keluarga. Memandangkan status diri yang belum berkeluarga, maka aku diharapkan untuk membantu sedangkan aku sendiri pun tiada daya.

Apabila difikir-fikir, ternyata aku sebenarnya tidak layak untuk sesiapa pun. Siapalah yang akan sudi. Aku sendiri pun lebih rela membujang daripada menerima orang yang bukan pilihanku.

Masalahnya, pilihanku itu tidak ditakdirkan untuk diriku. Bukan pesimis, bukan berfikiran negatif... tapi aku sedar prince charming tidak mungkin memilih aku sebagai ratu. Selama-lamanya aku hanyalah cinderella bahagian 1 - berkhidmat untuk keluarga. Tiada babak kedatangan prince charming.

Abe rama-rama ialah prince charming itu yang hanya mampu aku tatap dan puja dari kejauhan.


2 Jan 2012
12.23pm

rama-rama kusayang

Ingatan terhadap rama-rama begitu kuat sekalipun begitu ramai manusia yang datang dan pergi dalam hidup ini...

Pagi ini mesyuarat guru yang pertama. Ada guru baharu. Ramai guru dah berpindah ke sekolah lain. Perubahan demi perubahan berlaku setiap hari tapi satu perkara tetap sama - rasa sayang akan rama-rama masih begitu mekar...


2 Jan 2012
10.01am

pantas masa berlalu

Pantasnya masa berlalu... Inilah kehidupan. Segala-galanya sekejap cuma.

Andai aku dapat memutar masa, ingin aku kembali ke tahun 2009. Teringat betapa manisnya mesej yang bertalu-talu daripada si dia pada awal perkenalan. Mesej yang begitu kudamba, tapi kini begitu dingin sekali.

Inilah kehidupan... Betapa kaki ini harus melangkah dalam meneruskan hidup biarpun dalam keterpaksaan, dalam kepayahan.

Aku tidak mengerti sama ada peluang itu pernah hadir atau aku sendiri yang perasan tanpa mengukur baju di badan. Bagaimanakah dapat kufahami kata-kata simbolik itu?

Memang benar aku pernah cuba melenyapkan anganku lantas cuba menjauhkan diri. Namun begitu, pada hakikatnya aku masih terus hidup dengan ingatan dan rindu pada setiap hari. Bagaimanakah mungkin aku dapat melupakan rama-rama teristimewa dalam hidupku yang aku julang di takhta hatiku?

Aku hanyalah insan biasa, wanita biasa dengan segala kekurangan diri. Aku sedar aku hanyalah gagak yang mencipta angan untuk menumpang teduh pohon kasihmu. Sekalipun gagak, ia tetap makhluk Tuhan yang punya perasaan dan mahu sebuah kehidupan seperti yang diimpikan.

Adakah bersalah seandainya mencipta impian?

Berdosakah sekiranya jatuh cinta kepada seseorang yang sangat istimewa yang Tuhan hadirkan dalam hidup ini?

Apakah gagak hitam yang hodoh tidak layak untuk mendapat cinta?

Gagak merayu dengan titis air mata:
~ kembalikan hatiku andai kau menolaknya
~ balaslah kasih ini dengan salam persahabatan
~ hiduplah bahagia demi aku
~ ingatlah, aku sentiasa ada tika kau memerlukan

1 Jan 2012
10.42pm