Sunday, October 21, 2012

Hidup Ini Pinjaman Cuma

Seandainya aku kata dalam tempoh tiga tahun ini aku belajar menjadi dewasa, jangan tergelak pula, sebab inilah hakikatnya. Kukira belum terlambat untuk aku bermuhasabah… merenung kehidupanku sedalam-dalamnya… pada usia senja ini. Rabu minggu yang lalu aku dikejutkan oleh berita kematian seorang teman kepada kakakku – pemuda yang berusia 37 tahun – yang kacak bergaya – masih bujang. Ketika itu kurasa betapa rapuhnya hidup ini – semuanya tidak terduga. Alangkah rapuhnya kehidupan manusia. Hidup ini hanyalah pinjaman dan pada bila-bila masa Tuhan akan menariknya kembali. Tahun 2012 menyaksikan tragedi dalam hidupku – pemergian ayah yang tersayang – yang sehingga kini belum mampu aku hadapi hakikat kehilangannya. Bukan kematian yang pertama dalam keluargaku tetapi inilah kematian pertama yang aku saksikan sendiri sepanjang usia hidupku. Mungkin kerana aku tidak berada di sisi ayah ketika dia menghembuskan nafas yang terakhir, maka akalku tidak dapat menerima hakikat bahawa dia telah tiada. Dalam sanubariku, dia tetap ada tetap hidup… hanya mataku tidak dapat lagi menatap diri ayah… dan aku juga tidak dapat lagi berbakti kepadanya. Dalam beberapa minggu ini ketika aku berhibernasi…bermuhasabah… hidupku menjadi lebih tenang. Aku tidak lagi mengejar apa-apa yang bukan milikku. Aku belajar untuk menjadi lebih kuat – kerana aku yakin itulah yang ayah mahu aku lakukan. Aku sedar kini. Segala perkara yang berlaku dalam hidup ini ada hikmahnya. Perkara yang telah ditentukan oleh Tuhan bagi kehidupan kita – takdir-Nya yang tidak mampu kita ubah. Aku yakin Tuhan menghadirkan ‘dia’ dalam hidupku untuk menggerakkan aku meneruskan pengajian ke peringkat PhD. Aku bersyukur atas segalanya… apa yang ada… dan apa yang tiada. Sementara menanti nafasku ditarik kembali…nyawaku dipulangkan kepada asalnya….dan aku menghadap-Nya, maka aku harus meneruskan perjalanan hidup ini. Biarpun ada banyak keraguan, banyak ketakutan, banyak kerisauan….aku yakin perjalanan ini singkat sahaja. Ruang masa yang ada ini harus kuisi dengan perkara yang bermanfaat bagi diriku, keluarga dan juga orang lain. Aku tidak mengingini harta kekayaan, pangkat atau apa-apa pun… tetapi cukuplah sekiranya Tuhan memberi aku kebahagiaan sehingga ke titik noktah hidupku. Bahagia dalam segala kesederhanaan…. (22 Okt 2012)

Wednesday, October 10, 2012

a thousand years loving you

Semalam aku menonton drama bersiri Korea yang baharu melalui TV2, tajuknya “A Thousand Days Promise”. Aku kagum melihat ketabahan si gadis yang mencintai seorang jejaka dan jejaka itu bakal melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihan orang tuanya. Gadis itu walaupun sangat mencintai jejaka itu, namun dia kelihatan begitu tenang apabila si jejaka memberitahu bahawa tarikh perkahwinannya telah ditetapkan. Katanya, dia sudah banyak kali berlatih untuk menghadapi situasi itu dan ternyata latihannya telah banyak membantu. Si gadis malahan mampu tersenyum sehingga si jejaka memintanya menghentikan senyuman itu kerana dia sama sekali tidak percaya bahawa si gadis itu tidak rasa terluka ataupun bersedih sedikit pun. Baginya, si gadis itu terlalu tenang…begitu sukar untuk dipercayai. Dengan bersahaja, si gadis meminta agar si jejaka menikmati saat-saat terakhir mereka bersama. Aku teringat pada rama-rama. Aku juga sungguh-sungguh mencintai dirinya, seperti juga si gadis dalam drama tersebut. Andainya aku mendapat perkhabaran bahawa dia akan melangsungkan perkahwinan, pastinya hatiku sangat hancur. Pastinya mutiara berguguran lagi. Tidak mungkin aku mampu setenang itu. Sebelum berpisah di tempat parkir kereta, si gadis memohon izin untuk ke tandas. Dia meluru masuk ke dalam tandas lelaki… membuka kasut tumit tingginya lalu duduk di atas mangkuk tandas. Kemudian.. terbongkarlah perasaan si gadis itu yang sebenarnya. Sesungguhnya hatinya sangat terluka… Perasaan yang ditahan-tahannya tadi semuanya terlerai sudah. Tangisan yang begitu pedih… begitu pilu. Aku tahu aku harus merelakan dia pergi… rama-rama yang terindah itu… (11 Oktober 2012; 2.01pm)

Sunday, October 7, 2012

Diari Luka

5 Okt 2012 (Jumaat) – Aku mengunjungi pohon engkabang. Alangkah hampanya apabila pohon yang berbuah lebat pada bulan Ogos itu hanya berbuah beberapa biji. Aku hanya nampak 3 biji buah bergantungan di pokok – satu di kiri, satu di tengah, satu di kanan… Ketika mengambil gambar di situ, kamera Ziha yang kupinjam bermasalah. Rosak skrinnya. Mungkin sudah uzur tetapi memandangkan perkara itu berlaku ketika kamera itu kupinjam, maka aku harus bertanggungjawab. Kameraku sendiri telah rosak sebelum sempat aku sampai ke Kapit pada 15 September 2012. Balik ke rumah, petang itu aku memasak air di dapur. Selesai urusan memindahkan gambar dari kamera ke laptop, aku tidur petang. Sekurang-kurangnya selepas satu jam 30 minit, aku bangun dari tidur lalu aku tersedar bahawa aku ada memasak air. Aku meluru ke dapur dan mendapati bahawa dapur gas sedang terbakar. Dengan cepat kujirus air. Rupa-rupanya pemegang cerek yang diperbuat daripada plastik dan besi hangus terbakar. Syukurlah.. api itu tidak sampai ke salur gas. Kalau tidak, aku tidak sempat pun mengucapkan selamat tinggal kepada orang yang kusayang. 6 Okt 2012 (Sabtu) – Hari ini sekolah gantian. Rama-rama memuat naik gambar jamuan akhir tahun sekolahnya. Dia kacak sekali… rakan-rakan sejawatnya pula begitu cantik dan anggun (aku klik ‘like’). Ada satu catatan dalam FBnya yang membuatkan hatiku terasa begitu hancur untuk sekian kalinya. “Rupanya siapa saya di mata awak tak sama dengan siapa awak di mata saya” Naluri aku mengatakan bahawa kata-kata itu ditujukan untuk aku, begitu cocok dengan diriku. Gambar cover FBku kuguna gambarnya dengan menggunakan teknik PhotoMania. Di dalam mata itu, ada dirinya. Aku klik ‘like’ juga untuk catatan ringkas itu biarpun hatiku terluka. Kata-kata seumpama itu bukan yang pertama aku terima, malah itu kali yang ketiga. 1st (4 Disember 2009): “Saya tidak pernah declare apa-apa.” 2nd (2010): Emel yang pertama daripadanya, “Perkara yang paling kejam ialah membuatkan seseorang jatuh cinta tanpa ada niat untuk menyambutnya.” 3rd (6 Okt 2012): “Rupanya siapa saya di mata awak tak sama dengan siapa awak di mata saya” Dan pada tarikh 6 Oktober 2012, telefon bimbitku juga rosak. Telefon bimbit yang ada menyimpan mesej kepada diriku dan juga mesej aku kepada dirinya, dan juga catatan-catatan hatiku tentang dia. Dugaan apakah lagi??? Mungkin Tuhan pun mahu aku melupakan si dia… membina hidup yang baharu. 7 Okt 2012: Kugunting rambut… pendek... Yang paling pendek dalam tempoh 12 tahun ini. Rambut terpendek aku adalah pada tahun 2010 ketika aku putus cinta untuk kali pertamanya. Yang ini, aku tidak menganggapnya sebagai putus cinta kerana kami tidak pernah menjalin hubungan cinta walaupun jalinan sayang kepadanya begitu kuat. Rasa kecewa dan terluka yang lebih mendalam berbanding ketika hubungan aku dan mantan kekasihku merenggang dan terputus tanpa kata putus, 12 tahun yang lalu. Tahun lepas, pada bulan September 2011, rambutku juga digunting pendek tetapi tidaklah sependek ini. Guntingan itu gara-gara dia memadamkan akaun FBnya yang satu lagi, yang sememangnya tidak aktif tetapi dipadamkan (kurasa kerana ungkapan sayang yang aku luahkan). Ketika itupun, hanya ada 5 orang rakan FBnya, dan salah seorangnya ialah sahabat karibnya… dan seorang lagi gadis idamannya… (naluriku mengatakan begitu). Telefon bimbit itu kuhantar untuk dibaiki, tapi percuma sahaja wang dihabiskan kerana memang telefon bimbit itu sudah nazak. Sekarang telefon bimbit itu dibiarkan sahaja tidur, dan suatu masa nanti apabila aku sudah bersedia… akan kupindahkan semua catatan dam mesej ke laptop. Ya.. untuk mengingat kembali kenangan indah dan kata-katanya yang manis… moga suatu hari nanti mampu dijadikan sebuah novel cinta yang luka. Walau bagaimanapun, hal ini tidak bermakna bahawa dia akan terus tersingkir dari ingatan dan hatiku. Seperti kata kak Syam, biarlah ia duduk diam-diam di dalam hati. Aku tidak pernah membenci. Masih sayang. Dan biarlah kesudahannya begini saja. Sememangnya dia layak mendapat yang terbaik dan jauh lebih baik daripada diriku. Ya.. biarlah dia hidup bahagia… Aku tidak pernah dan tidak akan mengganggu hidupnnya. Kalau sekadar mesej ucapan, itu hanyalah ucapan tanda aku masih mengingati dirinya… biarpun sebagai sahabat saja… sahabat alam maya. Tidak mengapalah engkau bersikap kejam terhadap diriku… mungkin tanpa engkau sedari… Kalau masa lalu dapat diulang kembali, aku lebih rela engkau tidak pernah hadir dalam hidupku daripada aku harus meratapi kehilanganmu. 8 Oktober 2012 8.55am

Tuesday, September 25, 2012

Cintaku di Grand Continental

Catatan dimulakan pada 23 Sept 2012, 1.30pm di Kuching International Airport. Semalam sebelum pukul 8.00 malam, ketika aku dan Z mengintai kek di lobi hotel, tetiba ada satu tangan yang menyentuh lenganku pada saat aku masih menunduk memerhatikan jenis kek yang ada . Begitu mendadak sehinggakan aku tidak pasti sama ada orang itu ada berkata ‘hai’ ataupun tidak. Pandanganku bermula dari kaki… berseluar panjang…lelaki. Dalam hatiku.. ‘aku kenalkah lelaki ini’. Sehinggakan apabila menatap wajahnya… aku masih terasa kosong… langsung tidak dapat mengingat ataupun berfikir… untuk beberapa saat lamanya aku terkaku. Antara mimpi dan realiti… (Pertemuan 1) Wajah itu… wajah tampan itu…. Ya Tuhan, rupa-rupanya dia ialah Az. Dia bertanya tentang kursus yang aku hadiri. Aku juga bertanya tentang kursusnya walaupun ketika di luar pintu masuk hotel ada terpampang notis tentang kursus-kursus yang sedang diadakan…dan aku ada ternampak kursus diploma antarabangsa PJ. Dalam hatiku mengatakan bahawa Az mungkin mengikuti kursus tersebut walaupun sebenarnya aku sama sekali tidak pasti. Aku pernah ternampak update kat FB yang menyatakan rasa kesalnya kerana kursus diploma antarabangsa PJ hanya diadakan di Kuching sedangkan bumi Sarawak begitu luas. Aku sangka Az tidak jadi mengikuti kursus itu. Memandangkan kursus itu berkaitan dengan PJ, mungkin Az ada kerana tahun lepas dia juga mengikuti kursus PJ di Sabah… tambahan opsyen. Pada tengah hari Jumaat (21 Sept 2012) aku ada ternampak update kat FB Az yang menyatakan bahawa dia check-in Hotel Grand Continental, Kuching 18 jam yang lalu. Hal ini bermaksud bahawa dia telah berada di situ sejak hari Khamis. Kuharap dia masih berada di sana apabila aku berkursus di situ pada hari Sabtu dan Ahad. Bagaimanapun, aku tahu aku tidak boleh terlalu berharap kerana belum pernah ada pertemuan dengannya walaupun kami sama-sama menetap di Bintulu – tidak pernah tertemu satu sama lain. Saat itu, dia sudahpun berada di hadapanku. Detik yang begitu kudamba sebelumnya… tapi pada ketika itu aku menjadi begitu kaku… begitu kelu… begitu gemuruh… Sewaktu makan tengah hari di Sarawak House, Z kata ada ada satu kumpulan yang memakai track suit.. katanya tentu kumpulan Az dan Az tentu ada dalam kalangan mereka. Entah mengapa aku menjadi begitu gementar… walaupun belum lagi ternampak diri Az. Tanganku menggeletar ketika mengambil makanan. Memang aku dambakan pertemuan dengan dirinya tetapi aku terlalu gementar untuk menghadapi saat pertemuan itu. Sehingga habis makan dan balik ke bilik hotel, aku tetap tidak nampak dia. Mungkinkah dia sememangnya tidak lagi berada di hotel itu? Setiap kali masuk atau keluar dari lif, betapa aku berharap dapat menatap lagi dirinya… Kini, dia berada di hadapanku dan tetap begitu kacak seperti dulu. Malah lebih kacak daripada yang kugambarkan sewaktu makan tengah hari. Wajahnya begitu berseri-seri… begitu bersih daripada segala noda. Kemudiannya, dia berlalu… Aku bertanya ‘ada kursus lagi?’ untuk malam itu. Aku tidak tersebut namanya kerana gugup… mungkin juga terlalu sukar untuk percaya realiti yang muncul di hadapanku. Betapa saat itu tidak pernah pun wujud sepanjang tempoh 3 tahun aku mengenali dan menyayangi dirinya. Dia lalu menoleh ke belakang dan menjawab ‘ya’. Aku memberikan lambaian kecil kepadanya… melihat dia melangkah keluar dari pintu utama hotel… tetapi aku tidak pasti sama ada dia nampak ataupun tidak. Aku terkaku.. kelu lidah… dan perasaanku berkocak kuat. Aku hampir-hampir terlupa tujuan asalku hendak membeli kek keju. Tidak sabar-sabar untuk memberitahu Z yang berada di sebelahku tentang ledakan perasaanku. Semalaman aku tidak dapat tidur. Perasaanku bercampur baur – gembira.. terharu… Rasa begitu terharu melihat dirinya, apatah lagi dia datang mendekati dan menegurku. Ketika breakfast pagi tadi, aku cuba intai-intai dirinya tapi tidak ketemu. Sebaik sahaja melangkah keluar dari ruang makan, Z kata ada ‘dia’. Aku menoleh kiri dan kanan tetapi tidak nampak dia. Beberapa kali Z kata ada dia tetapi memandangkan aku tidak nampak dirinya maka aku sangka Z mengusik aku – sebab dia tahu aku akan berasa sangat gementar apabila hadirnya Az. (Pertemuan 2) Turun dari bilik untuk menuju ke dewan kursus, aku mengintai ruang makan. Aku ternampak dia duduk di meja pertama pintu masuk dan juga menghadap ke arahku. Aku nampak dia tersenyum – mungkin senyuman itu ditujukan kepada rakannya yang duduk bertentangan dengannya – tetapi adalah lebih baik sekiranya aku menganggap senyuman itu ditujukan kepadaku – agar aku boleh tersenyum bahagia. (Pertemuan 3) Lama juga duduk di lobi menanti tempahan sambal laksa Sarawak sampai untuk dibawa ke Pulau Pinang bulan Oktober nanti sebagai ole-ole untuk kawan-kawan di sana. Dan juga masa untuk makan tengah hari sebenarnya. Teringin untuk sekali lagi menatap dirinya. Sesudah barang sampai, aku dan Z masih lagi duduk di lobi – terasa berat hati untuk melangkah pergi. Setelah beberapa ketika, akhirnya aku mengambil keputusan untuk bertolak ke airport dan lunch di sana. Aku dan Z keluar dari hotel sambil membawa barang-barang ke arah teksi yang diparkir bersebelahandi bahagian tepi hotel. Tiada pemandu teksi. Aku mencadangkan agar meminta pihak pengurusan hotel untuk memanggil teksi lalu kami mulai bergerak masuk ke dalalm hotel. Sejurus sebelum sampai ke pintu masuk, Z kata ada Az. Secara kebetulan, kereta kawannya diparkir di hadapan pintu hotel manakala Az dan rakannya semacam sibuk memunggah barang ke dalam kereta. Terasa malu untuk bertentangan mata dengannya, maka aku berbuat selamba dan melangkah masuk ke dalam hotel – mengeluarkan kamera untuk mengambil gambar Az. Tidak pernah mempunyai kesempatan untuk bergambar berdua dengan dirinya, tetapi cukuplah seandainya aku dapat mengambil gambarnya untuk tatapan hati yang merindu. Baru sempat ambil 1 gambar, aku dapati Az mulai melangkah masuk ke dalam hotel. Untuk mengelak daripada diketahui oleh dirinya, maka aku dan Z terus melangkah ke kaunter hotel – meminta teksi. Di belakang kami, Az kelihatan berlari-lari menuju ke lif lalu naik ke atas. Pegawai di kaunter kelihatan tersenyum-senyum. Sesudah memanggil teksi, kami duduk di lobi. Z kata mereka tersenyum-senyum melihat aku – macam faham-faham je. Terasa malu, tetapi aku berbuat selamba. Aku memasang kamera… bersedia mengambil gambar Az yang akan turun pada bila-bila masa. Hanya sempat ambil 2 gambar kerana Az berjalan dengan begitu laju sekali… kedua-dua gambar itu kabur. Takpa la… sekurang-kurangnya ada gambar yang menampakkan bahagian belakang tubuh Az. Itu pun sudah memadai. (Pertemuan 4) Check-in di kiosk. Kemudian Z pergi menunaikan solat – tinggallah aku seorang diri di di bangku bersebelahan dengan seorang pakcik. Walaupun duduk di baris hadapan, kedudukan aku agak tersorok oleh troli aku dan pakcik itu. Terasa bosan lalu mengeluarkan handphone. Ketika mengangkat wajahku, aku ternampak Az dan rakan-rakannya di kiosk. Mereka membelakangkan aku, jadi aku pasti Az sama sekali tidak ternampak aku di situ. Apabila mereka mulai meninggalkan tempat itu, aku menundukkan wajahku – mengelak daripada menatap dirinya kerana aku berasa gementar… serba salah dibuatnya. Seketika kemudian apabila aku mengangkat kepala dan tercari-cari Az, aku ternampak Az dan seorang kawan wanita berdiri di bahagian luar kaunter daftar bagasi. Sekejap saja aku menunduk, Az dan rakannya sudah tidak kelihatan lagi. Terasa hiba hati ini kerana Az telah meninggalkan aku. Aku tercari-cari tetapi hampa. Sah, dah tiada. Mungkinkah kami akan menaiki flight yang sama? Ada harapan…ada keinginan… tetapi realitinya aku tidak pasti. (Pertemuan 5) Aku dan Z makan di KFC. Ketika berjalan menuju ke KFC, aku sangat berharap Az ada di restoran makanan segera kegemarannya itu. Tiada. Hampa sungguh diriku. Masih ada masa 1 jam lagi sebelum penerbangan, tetapi aku memberitahu Z supaya tunggu sahaja dib alai berlepas. Ziha mendahului. Aku berjalan dalam kekosongan… Sebaik sahaja hendak membelok masuk ke balai berlepas, aku ternampak Az dan kawannya di luar balai berlepas. Saling bertukar senyuman, Az bertanya ‘dah nak balik?’.. Aku berhenti di sebelahnya dan menjawab ‘ya’. Aku tanya ‘belum balik?’. Dia jawab ‘esok’. Aku tanya ‘esok tak mengajar?’. Katanya ‘mengajar. Balik awal pagi.’ Aku tersenyum lalu kata ‘bye-bye’ sambil tangan kananku membuat lambaian kecil. Az mungkin ada kata ‘pergilah’ atau ‘ya’… memberi izin kepadaku untuk masuk ke balai berlepas kerana Z sudah menungguku di kaunter scan barangan. Sebaik sahaja aku meletakkan beg plastik berisi kek dan beg tanganku, aku menoleh ke belakang..dengan harapan dapat memberi lambaian sekali lagi… tetapi Az sudah tiada. Berdasarkan kiraanku, sepanjang 2 hari di Kuching, ada 5 kali pertemuan dengannya… sama ada Az sedar ataupun tidak. Angka ini hampir menyamai pertemuan kami sepanjang 3 tahun ini. (2009-2012) 1. Pertemuan pertama – 17 Okt 2009 2. Okt 2009 – sepanjang petang bersama – pertama kali menikmati saat romantic bersama seorang lelaki 3. Okt 2009 – Az hantar ke sekolahnya… kemudiannya dia ikut bersama E utk menghantarku balik pada petang itu 4. 13 Okt 2009 – sambut birthday E di KFC 5. Okt 2009 – bertemu berdekatan terminal bas – Az serahkan borang soal selidik 6. Okt 2009 – serah balik borang soal selidik kepada Az – Az hantar balik ke kuarters 7. 27 Mac 2011 – singgah di bawah kuarters – dalam perjalanan balik ke Btu 8. 6 Jan 2012 – serah buku kajian – Az hadiahkan kerongsang mutiara 9. 22 & 23 Sept 2012 – pertemuan pertama tanpa diatur. Tuhan, aku bersyukur kepada-Mu untuk pertemuan ini yang sangat kudamba sepanjang 3 tahun ini. Kesimpulan yang boleh aku buat, aku masih sangat menyayangi Az. Cinta bererti membiarkan Az memlilih yang terbaik untuk dirinya. 26 Sept 2012 (Rabu) 1.21pm

Thursday, September 20, 2012

petanda awal sebelum kehilangan ayah

Post terakhirku di FB adalah pada 11 Mac 2012. "Slama ini hanya tahu mendiang nenekku (sebelah bapa) ialah Iban. Hari ini baru aku tahu salasilah yg sebenar. Rupa2nya nenek moyangku Iban manakala datuk moyangku Melayu. Hmm...patutlah aku bgitu rapat dgn rakan Melayu n cinta budaya Melayu... Rupa2nya dlm tubuh ini mengalir jg darah Melayu ~ mjejak asal diri ^^" Kemudiannya aku menjadi begitu tidak suka pada FB... semacam ingin deactivate akaun FB. Bulan Mac 2012 juga aku melatih 15 orang pelajar untuk pertandingan drama komsas. Kupilih drama Atap Cengal Dinding Sayung... yang mengisahkan konflik keluarga apabila tsunami melanda dan si ayah hilang di laut (disangka telah mati tetapi akhirnya kembali semula). Pertandingan drama komsas di SMK Asyakirin pada tarikh 21 Mac 2012 - tarikh ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir adalah pada 23 Mac 2012!!! 21 Sept 2012 12.45pm

lukisan

Lukisan Shahrizan ni dah aku tempah... bayarannya akan dijelaskan hujung bulan ni. Aku akan bingkaikan lukisan ini nanti. Pertama kali menatap lukisan ini ketika pameran seni di sekolah, aku sudah terjatuh hati kepada lukisan ini. Lukisan itu mengingatkan aku kepada tangan Az yang pernah memegang tanganku untuk naik ke pulau kecil di TB. Walaupun seketika sahaja, namun kenangan indah itu tidak mungkin dapat aku lupa. Tangan itu jugalah pernah kugigit sekali. Inilah tafsiran yang kuberi untuk lukisan ini: Tafsiran 1: Lukisan ini walaupun ilhamnya drp tunggul kayu tetapi begitu abstrak... begitu ada nilai seninya... tergantung kpd tafsiran individu... bagi sy, lukisan ini penyatuan 2 lengan (melambangkan penyatuan 2 insan) dan cabang yang berselirat di atasnya ialah jari2 (melambangkan banyaknya matlamat yg ingin dicapai bersama). - Aku teringat tangan Az yang pernah memegang tanganku untuk naik ke pulau kecil di TB. Walaupun seketika sahaja, namun kenangan indah itu tidak mungkin dapat aku lupa. Tafsiran 2: Impian dan harapan telah mati, sama spt kayu mati yg asalnya pohon hijau yg tumbuh meninggi subur. Cabang2 pokok melambangkan hala tuju masing2 yg x mungkin bersatu lagi. Yang tinggal hanyalah sisa kenangan. Hitam….... Kelam….... T T (10 Sept 2012, 10.33pm) - kutahu dia bukan milikku 21 Sept 2012 12.06

di balik kata-kata

Rama-rama: "Tahniah dan selamat maju jaya dan apa jua bidang yang diceburi. Walau bagaimana kesakitan, ianya bakal hilang. Tetapi sekiranya menyerah kalah, kesakitan akan berkekalan sepanjang hayat." - 8.45am, 20th Sept 2012. ("dan" sepatutnya "dalam" tetapi kukira dia tidak kisah pun untuk memeriksa sekali lagi kerana aku bukanlah siapa-siapa yang istimewa bagi dirinya.) Setelah sekian lama menanti, akhirnya ada juga kata-kata daripada dirinya. Kuucapkan terima kasih. Entah mengapa, aku begitu rindu untuk mendengar dia berbicara lagi kepadaku. Aku sepatutnya bersyukur kerana masih ada kata-kata ini untuk diriku. Pelbagai tafsiran boleh diberi, tetapi tafsiranku yang pertama ialah aku harus kuatkan semangat dan teruskan hidup ini seadanya biarpun tanpa cintanya. Entah mengapa, itu yang paling berkesan dalam hatiku. Tafsiran 1: Kepedihan hati kerana tidak dapat memiliki dirinya akan hilang juga suatu hari nanti tetapi kejayaanku dalam menyelesaikan perjuangan PhD itulah yang paling utama. Tafsiran 2: Kematian ayah sememangnya menyakitkan... tetapi itulah lumrah kehidupan... setiap yang hidup pasti akan mati. Suatu hari nanti, aku akan mampu menghadapi kehilangan ini walaupun perasaan sayang dan rindu itu tidak mungkin akan hilang. Tafsiran 3: Kurasa inilah maksudnya yang sebenar. Adalah tidak mudah untuk meneruskan PhD tetapi aku harus punya kekuatan untuk menyelesaikannya agar tiada rasa kesal dalam hidupku ini. 21 Sept 2012 11.48am